Salah satu sifat keji di sisi Islam adalah berprasangka buruk kepada orang lain.
Perasan itu timbul daripada rasa dengki dan tidak puas hati atas apa yang diperoleh orang lain yang kemudian berakar sehingga menjalar kepada perasaan khianat dan dendam.
Tuduhan demi tuduhan kemudian tersebar melalui lidah fitnah. Sebenarnya penyakit inilah yang dibimbangi kerana boleh merosakkan keperibadian Islam yang dibina atas paksi keimanan. Bahkan perbuatan memburukkan orang lain lebih didorong oleh hasutan ingin melihat pertelingkahan sesama saudara seagama.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu marah, jangan kamu berhasad dengki dan jangan kamu bermasam muka, sebaliknya jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelakuan buruk ini amat disukai syaitan dan penyebaran berita buruk serta fitnah cepat merebak, tambahan daripada mulut mereka yang berpengaruh.
Tanpa dipersoalkan kebenaran berita dibawa, mereka yang berminat menyebarkannya secara tidak terbatas melalui rangkaian dan jaringan mulut manusia yang sukar disekat.
Allah mengingatkan dalam firman bermaksud: "Wahai orang beriman! Jauhi kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain." (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Islam menekan soal menjaga maruah dan peribadi Muslim. Bahkan, Islam menuntut disembunyikan keaiban orang lain walaupun mengetahuinya. Begitulah nilai dan berharganya Islam dalam mempertahankan maruah penganutnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berhati-hati kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam." (Hadis riwayat Muslim)
Sikap buruk sangka ini membawa padah lebih buruk jika berlaku dalam komuniti setempat. Suasana aman dan harmoni akan menuju kehancuran.
Penyakit hati seperti saling membenci, mencaci dan tuduh-menuduh yang berterusan menjurus kepada perbalahan berpanjangan yang sukar dibendung.
Bayangkan jika ia berlaku dalam negara yang penghuninya menjadikan fitnah dan prasangka sebagai budaya hidup. Senjata inilah yang membunuh keamanan dan keharmonian menjadi impian manusia.
Islam melarang keras fitnah serta menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah balasan azab yang pedih.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu semua bersaudara." (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)
Rasulullah SAW mengingatkan kita sentiasa menjauhi perbuatan keji kerana kesannya membawa budaya tunjuk perasaan, fitnah memfitnah dan serang menyerang yang langsung tidak mempedulikan keamanan serta keharmonian.
Perbuatan sangka buruk terhadap orang lain timbul daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki. Perbuatan itu melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan akal dianugerahkan Allah.
Oleh itu, jangan dibenarkan nafsu menguasai akal dan adakan pertimbangan akal serta iman. Setiap pertuduhan perlu bukti kukuh. Serangan secara membabi buta bukan cara yang dituntut Islam. Cerita disebarkan dari mulut ke mulut tidak boleh dijadikan bukti untuk membenarkan segala dakwaan. Jika sesuatu tidak sahih dan sumber rujukan belum tentu benar, maka periksa dulu.
Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, maka periksa dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesal perbuatan kamu itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Semua pihak mesti memainkan peranan menjaga keamanan dan keharmonian yang sekian lama dikecapi ini. Nikmat Allah yang berharga ini hendaklah disyukuri sentiasa. Allah berfirman bermaksud: "Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata." (Surah an-Nahl, ayat 114)
Tidak dinafikan keamanan dan kestabilan yang dinikmati berkat muafakat serta kesepaduan hidup bermasyarakat, tanpa mengira agama, budaya dan bangsa.
Di sinilah keistimewaan agama Islam yang mengajar umatnya berbuat baik dan menunaikan tanggungjawab di samping menghargai nikmat dikurniakan Allah.
Bukankah Allah menerangkan kepada umat Islam bahawa kunci keberkatan dan keamanan berkekalan adalah melalui rasa syukur kepadanya.
Firman-Nya bermaksud: "Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)
Adapun nikmat keamanan dan keharmonian hanya sebahagian daripada kurniaan Allah sedangkan banyak lagi nikmat yang diberikan. Justeru, bagi mempertahankan keharmonian dan keamanan, jauhi sifat dengki dan khianat.
notis penutup: just to share....
Tuesday, March 3, 2009
Sikap buruk sangka, dengki dan khianat..
Posted by mamabiey at 4:37 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment